PRK P. Pauh: Hampir 90 peratus tunaikan tanggungjawab pengundian awal

Bernama
Mei 3, 2015 18:20 MYT
SPR: 89.6 peratus daripada 597 pemilih daripada anggota polis serta pasangan mereka selesai menunaikan tanggungjawab itu sejak pusat mengundi di Dewan Gemilang itu dibuka 8 pagi tadi.
Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini ditutup pada pukul 5 petang dengan 519 pengundi bagi saluran berkenaan keluar mengundi.
Pemangku Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Azizal Ahmad berkata 89.6 peratus daripada 597 pemilih daripada anggota polis serta pasangan mereka selesai menunaikan tanggungjawab itu sejak pusat mengundi di Dewan Gemilang itu dibuka 8 pagi tadi.
"Proses pengundian awal di dua saluran iaitu Dewan Gemilang dan Berek Kelamin Balai Polis Kubang Semang berjalan lancar.
"Keseluruhan keluar mengundi bagi dua saluran berkenaan ialah 540 pengundi atau 87.9 peratus daripada 627 pemilih berdaftar bagi Parlimen berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu, proses pengundian di Berek Kelamin Balai Polis Kubang Semang ditutup lebih awal iaitu pada pukul 2 petang dengan peratusan mengundi mencapai 100 peratus iaitu 30 orang.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah bersama lima ahli panel SPR turun ke pusat mengundi di Berek Kelamin dan Dewan Gemilang untuk melihat serta memantau proses pengundian awal itu.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.
Seramai 71,252 orang pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Khamis depan (7 Mei).
#Barisan Nasional #BN #Mohd Zaidi Mohd Said #pakatan #Permatang Pauh #PR #PRK #SPR
;