PRK P.Pauh: Desakan Anwar mengundi strategi PKR raih simpati - Reezal
Wan Syamsul Amly
April 28, 2015 19:06 MYT
April 28, 2015 19:06 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diminta menggunakan kekuatan sendiri dan bukan suntikan semangat suaminya untuk meraih sokongan pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh Mei depan.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wan Azizah dilihat cukup malang jika masih memerlukan sokongan satu undi daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Desakan yang dibuat untuk membenarkan Anwar mengundi ini satu 'propaganda kosong' untuk meraih simpati. Seakan kehabisan modal untuk menarik minat pengundi, saya lihat isu ini dibangkitkan untuk tujuan tersebut.
"Anwar tidak wajar diberikan keistimewaan untuk berbuat demikian. Mengapa undi Anwar lebih berharga berbanding 71,889 undi yang lain? Apa istimewanya Anwar?
"Ironi, kerana desakan sebegini tidak pernah timbul pada tahun 2004. Anwar masih banduan pada waktu itu. Tak ada desakan. Tak ada isu apa sekalipun. Kenapa hari ini ianya ditimbulkan?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Reezal mengulas dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran di dalam sebuah portal yang berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, seseorang tidak layak mengundi sekiranya ketika memohon untuk mendaftar sebagai pengundi, individu itu berstatus banduan.
Surendran sekali gus mendakwa SPR salah apabila memutuskan Anwar sebagai seorang banduan dan tidak berhak mengundi pada PRK Permatang Pauh.
Surendran turut menegaskan, tindakan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tidak membenarkan Anwar keluar mengundi juga bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan.
Terdahulu, SPR dalam kenyataannya memberitahu Anwar yang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya, hilang kelayakan untuk membuat pengundian bagi PRK Permatang Pauh.
Menurut kenyataan itu, Anwar hilang kelayakan untuk mengundi pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei itu berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu kata Reezal yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, PKR dinasihat untuk tidak meletakkan kepentingan Anwar melebihi kepentingan puluhan ribu pengundi lain.
"Pengundi di Permatang Pauh mesti dibenarkan mengundi dengan minda yang tenang dan tidak diganggu sentimen dan propaganda cetek seperti ini.
"Cukup malang, jika calon PKR masih lagi perlukan suntikan orang lain untuk beroleh kemenangan. Sebagai bekas wakil rakyat, sewajarnya 'kekuatan' sendiri lebih wajar diberikan keutamaan.
"Kalau sebelum ini Wan Azizah berani melepaskan jawatan di atas alasan yang longgar, saya rasa dia seharusnya beranikan diri untuk kembali bertemu rakyat. Tidak perlu jadi calon yang manja dan menggunakan strategi usang untuk meraih simpati pengundi," jelasnya.
Pada Ahad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah memohon supaya diberikan kelonggaran kepada bapanya untuk mengundi.
Katanya, permintaan itu sejajar dengan saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Julai 2013, bahawa kementerian sedang mengkaji mekanisme yang sesuai membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, pada 22 Julai 2013, Ahmad Zahid dilaporkan berkata antara aspek yang perlu diteliti ialah mengenai undang-undang yang diperuntukkan di bawah SPR untuk membenarkan banduan mengundi.