PRK P.Pauh: BN kecewa poster kempen dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab
T K Letchumy Tamboo
Mei 6, 2015 18:49 MYT
Mei 6, 2015 18:49 MYT
Barisan Nasional (BN) kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang memusnahkan poster pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh milik parti yang didirikan di sekitar kawasan itu.
Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata perbuatan itu adalah seperti tidak mematuhi semangat untuk berkempen secara bersih.
"Kami akui bahawa kami adalah 'underdog'. Tetapi kami tidak sangka pihak yang melakukan perkara ini tidak patuhi semangat berkempen secara bersih.
"BN sehingga hari ini tidak pernah mengadakan kempen mencaci-cela pihak lawan.
"Tetapi pihak lawan tidak mengadakan kempen yang bersih. Ini amat menyedihkan," katanya semasa satu sidang media di bilik gerakan BN di Bandar Perda di sini, hari ini.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman turut melahirkan rasa kecewanya terhadap insiden itu.
"Hari ini hari kempen terakhir. Sudah terlalu lewat untuk menggantikannya.
"Kami hanya harap, rakyat tempatan faham mesej yang kami ingin sampaikan melalui poster-poster itu," katanya.
PRK Permatang Pauh esok akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.