PRK Nenggiri: UMNO Gua Musang kemuka nama tiga calon muda

Bernama
Julai 13, 2024 21:30 MYT
Tengku Razaleigh berkata keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus. - Gambar fail/Astro AWANI
GUA MUSANG: UMNO Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memilih individu yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.

Ringkasan AI
  • UMNO Gua Musang mencadangkan tiga calon muda untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri bulan depan.
  • Keputusan ini dibuat kerana 62.5 peratus pengundi di DUN Nenggiri adalah golongan muda.
  • Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan calon-calon tersebut memenuhi kriteria yang diinginkan parti.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus.
"Kita rasa orang muda patut ambil bahagian dalam PRK DUN Nenggiri ini. Kita yakin keputusan ini tepat kerana sebanyak 62.5 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda.
"Kita telah mencadangkan tiga nama yang kesemuanya adalah calon muda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini hari ini.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri #UMNO Gua Musang #tiga calon muda #Tengku Razaleigh Hamzah
;