PRK Nenggiri: Peratusan keluar mengundi indikator, tawan semula atau status quo
Bernama
Ogos 15, 2024 13:20 MYT
Ogos 15, 2024 13:20 MYT
GUA MUSANG: Peratusan keluar mengundi akan menjadi antara indikator penting yang menentukan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu ini, sama ada Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kerusi itu, atau Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo.
BN yang memegang kerusi DUN itu selama empat penggal sejak ia mula dipertandingkan pada 2004, hanya tewas kepada PN Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas dengan majoriti 810 undi.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan berkata antara faktor kekalahan BN Ogos lepas adalah disebabkan ramai pengundi yang tidak keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Jika jumlah keluar mengundi tinggi kali ini Insya-Allah ia akan memberi peluang cerah kepada BN," katanya kepada Bernama.
Pada PRN Kelantan Ogos lepas hanya 61 peratus pengundi DUN Nenggiri menunaikan tanggungjawab masing-masing yang menyaksikan calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Nenggiri Ab Aziz Yussof tewas kepada calon PN Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding menggunakan logo PAS.
Pada PRK kali ini, BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Azmi bagaimanapun berkata PRK kali ini mungkin lebih sengit dan membuahkan kemenangan lebih tipis kepada pemenang, kurang jumlah majoriti daripada PRN sebelum ini.
Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian yang senada berpendapat kemenangan BN bergantung kepada sejauh mana pengundi tegar keluar dan tidak melakukan undi protes, pengundi luar kembali dan menyokong, serta peningkatan sokongan Orang Asli yang memberi impak dalam keputusan lepas.
"Jentera BN perlu memainkan peranan berterusan memastikan tidak ada sabotaj di hari mengundi bila dibawa ke PDM (pusat daerah mengundi).
"Ini juga bukan PRK Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah) bertembung dengan Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa); atau Pusat lawan Negeri, tetapi untuk melihat - sejauh manakah masing-masing (BN dan PN) dapat kembalikan sokongan orang Melayu, kerana majoriti lepas adalah tipis," katanya.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan 20,259 pengundi berdaftar diberi mandat untuk memilih wakil mereka, dengan 86 peratus daripadanya adalah dari kaum Melayu, 14 peratus Orang Asli, 0.2 peratus Cina dan 0.1 peratus India.
Daripada keseluruhan jumlah pengundi, 61 peratus merupakan pengundi muda di bawah umur 39 tahun.
Hampir dua minggu kempen, penganalisis politik Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata kedua-dua calon dilihat masih mempunyai peluang sama rata untuk menang setakat ini.
"Apa pun keputusan, ia tidak mengubah kedudukan kerajaan PAS di Kelantan, tetapi kemenangan BN penting sebagai pemangkin kepada kekuatan UMNO di Kelantan khususnya di Gua Musang yang menjadi kawasan tradisi dan selamat bagi parti berkenaan sebelum ini," katanya.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu itu turut berpendapat berdasarkan topografi penduduk, isu tempatan akan lebih mempengaruhi pengundi berbanding isu nasional.
Sementara itu veteran UMNO Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau mesra disapa Ku Li berkata faktor pengundi luar sukar diambil kira sebagai penyumbang kemenangan calon yang bertanding di DUN Nenggiri ini.
"Saya tak fikir ramai pengundi luar akan balik. Mungkin kerana ini bukan pilihan raya yang akan menentukan kerajaan, kerajaan dah ada, tinggal lagi nak isi satu kerusi kosong.
"Kosong itu pun kerana mandat diberi kepada orang yang cuba mewakili kawasan berkenaan, tetapi orang itu kini tidak berparti. Oleh kerana itu, diisytihar kosong," kata bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu kepada Bernama.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri
#jumlah keluar mengundi
#berjaya tawan
#status quo
#Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
#Mohd Rizwadi Ismail