PRK Nenggiri: 'Pas rasa mereka terlalu kuat' - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Ogos 18, 2024 18:55 MYT
Azizuddin (kanan) berpandangan Azmawi Fikri (kiri) diterima baik oleh pengundi di DUN Nenggiri berbanding calon daripada Pas. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sokongan pengundi muda dan Orang Asli dilihat menjadi antara faktor utama kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu.
Penganalisis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan pengundi muda mungkin sudah mula menerima baik Kerajaan Perpaduan dan BN, sekali gus meningkatkan keyakinan kumpulan itu untuk memberikan sokongan.
Selain itu, jelas beliau isu nasional yang dimainkan semasa tempoh berkempen juga menyumbang kepada undi kepada parti-parti yang bertanding pada pilihan raya tersebut.
"Jadi nampak Kerajaan Perpaduan responsif kepada penduduk di situ (Nenggiri) dan ini jadi tarikan kepada golongan muda khususnya melihat isu nasional dan ekonomi.
"Ia menjadi cerminan kepada penduduk di situ dan juga mungkin (pengumuman) Perdana Menteri tentang peratusan gaji (penjawat awam) menjadi feel-good factor untuk mereka memberikan sokongan.
"Pada masa sama, calon BN iaitu Azmawi Fikri Abdul Ghani seorang yang bagus dan diminati oleh penduduk di situ. Itu daya tarikan yang kuat berbanding calon Pas.
"Awie (calon BN) mendapat tarikan yang lebih baik, sekali gus memberi kemenangan yang agak baik dan besar kepada BN," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Ahad.
Mohd Azmawi menang dengan majoriti besar sebanyak 3,352 undi selepas menewaskan pencabarnya, Mohd Rizwadi Ismail daripada Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.
Mengulas lanjut, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menambah, kemenangan BN akan menyuntik semangat pemimpin dan akar umbi gabungan itu menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan PRK DUN Mahkota, akan datang.
Menurut Mohd Azizuddin, BN berpeluang cerah untuk mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut jika berlaku pemindahan undi daripada penyokong PH kepada gabungan itu dalam PRK tersebut, yang dijadual pada 28 September depan.
"Saya nampak peluang lebih yang lebih baik kerana Kerajaan Negeri (Johor) dan Persekutuan adalah Kerajaan Perpaduan.
"Walaupun tiada jaminan seperti PRK Sungai Bakap, di mana Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah sama, tetapi kalah juga kerana penyandang sebelum ini daripada parti pembangkang.
"Tetapi kali ini penyandangnya daripada kerajaan dan saya rasa BN memiliki peluang lebih cerah untuk mempertahankan kerusi Mahkota.
"PAU kali ini juga menarik sebab ia akan menjadi perbualan dan perbincangan hangat antara perwakilan dan sudah tentu kepimpinan akan mengunakan konteks Nenggiri untuk membawa satu obor, dan bergerak lebih kuat," ujar beliau lagi.
'Pas rasa mereka terlalu kuat'
Dalam pada itu, Mohd Azizuddin berkata kekalahan PN di kerusi berkenaan dipercayai kerana unsur sabotaj disebabkan pemilihan calon daripada Pas, dan bukannya daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Keadaan tersebut, katanya, menjadi 'duri dalam daging' dalam hubungan antara Pas dan Bersatu, yang seolah-olah timbul pergolakan dalaman.
Beliau juga berpandangan Pas merasakan mereka sudah 'terlalu kuat' dan tidak memerlukan Bersatu untuk memenangi dalam pilihan raya.
"Sebenarnya saya rasa ini banyak terletak kepada Pas sebab parti Islam itu merasakan mereka sudah terlalu kuat dan merasakan mereka bertanding mana-mana pun akan menang.
"Dia (Pas) juga sudah merasakan dia tak perlukan Bersatu sebenarnya, kalau apa-apa mereka boleh bergerak sendiri.
"Jadi ini konflik dalaman yang mereka perlu selesaikan. Kalau tak selesai memang agar sukar untuk mereka kembali.
"Walau ini baru satu (sabotaj) yang berlaku di Nenggiri tetapi kemungkinan untuk berlaku di tempat lain akan ada lagi.
"Ini dikatakan masalah hubungan dalaman PN apabila ada satu parti yang terlampau dominan seperti Pas mengetepikan parti lain, tetapi Gerakan tak nampak sangat diketepikan. Namun, Bersatu dah macam kurang dihormati," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Azizuddin menasihatkan agar kepimpinan Pas menyedari perkara tersebut bagi mengelakkan protes daripada penyokong atau pengundi di kawasan-kawasan lain.
#PRK DUN Nenggiri #Mohd Azizuddin Mohd Sani #penganalisis politik #Pas rasa mereka terlalu kuat