PRK Nenggiri: Mohd Azmawi janji galas amanah, tanggungjawab sebaik mungkin

Bernama
Julai 18, 2024 22:24 MYT
Pada pemilihan UMNO 2018, Mohd Azmawi Fikri dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang sebelum dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan tahun lepas. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjanji akan menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan parti dengan sebaik mungkin.
Mengakui terkejut diumumkan sebagai calon PRK berkenaan, Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu berkata beliau hanya mengetahui perkara itu beberapa jam sebelum Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkannya hari ini.
"Seperti kita tahu BN kalah di kawasan itu pada Pilhan Raya Negeri lepas. Jadi saya berikrar akan bekerja kuat bagi mengembalikan semula kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di Dewan UMNO Negeri, di sini hari ini.
Mohd Azmawi Fikri, 38, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), aktif dalam kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada pemilihan UMNO 2018, beliau dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang sebelum dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan tahun lepas.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos ini manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #PRK Nenggiri #penamaan calon #Pemuda UMNO
;