PRK Nenggiri: Kempen dua minggu dapat perhatian penuh, tamat tengah malam ini

Bernama
Ogos 16, 2024 16:30 MYT
Selama dua minggu, DUN ini mendapat perhatian sepenuhnya dari Barisan Nasional(BN) yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan, dan PAS yang juga mentadbir Kerajaan Negeri, mewakili Perikatan Nasional (PN). - Gambar hiasan
GUA MUSANG: 'Perang' kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan berakhir tengah malam ini, sebelum pengundi masing-masing turun memilih wakil rakyat mereka, esok.
Selama dua minggu, DUN ini mendapat perhatian sepenuhnya dari Barisan Nasional(BN) yang bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan, dan PAS yang juga mentadbir Kerajaan Negeri, mewakili Perikatan Nasional (PN).
Tidak lekang dari mulut jentera dan calon menyuarakan masalah penduduk dalam siri ceramah dan di media sosial, terutama berkaitan isu tanah, masalah infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan penduduk.
Tempoh kempen ini telah berjaya menyelesaikan masalah kekurangan mesin juruwang automatik (ATM), yang sebelum ini tidak tersedia untuk lebih 20,000 penduduk di kawasan tersebut. Kini, berdasarkan laporan media dan perhatian daripada calon BN, mesin ATM telah dipasang di sebuah perkampungan di DUN tersenut.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Bagaimanapun, kempen kedua-dua parti yang berlangsung dengan harmoni, sedikit dicemari apabila sentimen perkauman dimainkan PAS dengan menggelar parti DAP sebagai 'kafir harbi' dalam sebuah ceramah sehingga menyebabkan satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Sepanjang tempoh kempen, BN mewakili Kerajaan Perpaduan konsisten memberikan penjelasan dengan menggunakan strategi rumah ke rumah, ceramah kelompok, bagi menangkis persepsi 'kurang baik' dilemparkan pihak lawan di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
PAS dan PN pula selain membincangkan isu nasional dan tempatan, banyak mencanang isu undi BN dapat DAP bagi meraih undi, sekalipun DAP tidak bertanding pada PRK itu.
Kehadiran 'jeneral' BN, seperti Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah turut merancakkan kempen di minggu kedua menerusi sembang santai, ziarah dan ceramah kelompok di beberapa tempat.
PAS turut 'menurunkan' pemimpin ternama mereka, termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, hanya ingin pastikan calon BN terus berkhidmat kepada rakyat Nenggiri merupakan langkah berani BN tidak mengemukakan manifesto pada PRK kali ini, berbanding PAS yang mengumumkan 46 tawaran.
Veteran UMNO Tengku Razaleigh atau mesra disapa Ku Li yang juga Pengarah PRK DUN itu bagi BN berkata tidak perlu dihebahkan dengan pelbagai janji (manifesto) sekiranya tidak dapat ditunaikan kerana yang terkesan adalah pengundi di kawasan ini.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri #tempoh kempen #hari pengundian #masyarakat tempatan
;