PRK Nenggiri: Kemenangan BN bukti rakyat terima kesepakatan Kerajaan Perpaduan - Anwar

Bernama
Ogos 18, 2024 13:50 MYT
Anwar menyifatkan kemenangan itu sebagai penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam, membuktikan rakyat Kelantan menerima kesepakatan yang terhasil menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan itu sebagai penzahiran kepercayaan rakyat yang semakin menyesuaikan diri dengan gelombang perubahan di bawah Kerajaan MADANI, selaras dengan petanda lonjakan ekonomi negara yang semakin berkembang sejak akhir-akhir ini.
"Insya-Allah, kemenangan ini menjadi suntikan moral untuk Kerajaan MADANI tekal dalam usaha memelihara kebajikan rakyat dan menjulang kemakmuran negara ke tingkat tertinggi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran sama, Anwar juga mengucapkan tahniah kepada calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, atau lebih dikenali sebagai 'Awie' atas kemenangan tersebut.
PRK Nenggiri menyaksikan BN berjaya merampas semula kerusi DUN itu selepas Mohd Azmawi Fikri menang dengan majoriti besar 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #PRK Nenggiri #Kerajaan Madani #gelombang perubahan