PRK Nenggiri: Jumlah keluar mengundi menggalakkan

Bernama
Ogos 17, 2024 13:00 MYT
Pengundi muda Orang Asli Rosliza Ali, 25, menunjukkan jari yang mempunyai kesan calitan dakwat kekal selepas mengundi pada PRK DUN Nenggiri di Sekolah Kebangsaan Meranto, hari ini. - Bernama
GUA MUSANG: Peratusan keluar mengundi warga emas dan anak muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri setakat 11 pagi ini amat menggalakkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata kedua-kedua saluran pengundian itu menunjukkan kehadiran yang tinggi dengan peratusan mengundi di saluran warga emas mencatatkan jumlah tertinggi diikuti saluran pengundi muda.
"Macam biasa, pada sebelah pagi ia lebih kepada saluran warga emas dan saluran muda baru mula (meningkat), selepas pukul 11 ke atas makin rancak mereka turun (mengundi)," katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh di sini hari ini.
Beliau berkata setakat 11 pagi, sebanyak 40.43 peratus daripada jumlah keseluruhan 20,216 pengundi biasa telah menunaikan tanggungjawab masing-masing sejak kesemua 20 pusat mengundi bagi PRK itu dibuka 8 pagi tadi.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
#PRK Nenggiri #jumlah keluar mengundi #SPR