PRK Nenggiri: Jentera BN akan perjelas isu subsidi diesel, elak fitnah pembangkang - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 30, 2024 10:53 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya pada PRK DUN Nenggiri nanti pembangkang akan sentiasa menggunakan isu yang sama seperti yang dibangkitkan mereka dalam kempen pada PRK DUN Sungai Bakap sebelum ini. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Sebarang fitnah dan tohmahan pihak pembangkang ke atas kerajaan berhubung isu subsidi diesel akan diperjelaskan oleh jentera Barisan Nasional (BN) sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya pada PRK DUN Nenggiri nanti pembangkang akan sentiasa menggunakan isu yang sama seperti yang dibangkitkan mereka dalam kempen pada PRK DUN Sungai Bakap sebelum ini.
"Bagaimanapun saya melihat masyarakat di Gua Musang terutamanya masyarakat Orang Asli cukup rasional untuk kita perjelaskan isu subsidi diesel ini," kata pengerusi BN itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa di Kuala Betis dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, Nenggiri, Gua Musang hari ini.
Ahmad Zahid berkata bagi sebarang fitnah yang dibuat, penjelasan akan dibuat kembali oleh jentera parti, dan penerangan berhubung isu berkenaan akan diperhebatkan.
Pada 19 Jun lepas Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
-- BERNAMA
#Jentera BN #PRK Nenggiri #isu subsidi diesel #Ahmad Zahid Hamidi