PRK Nenggiri: Isu pembangunan luar bandar tidak lagi mampu tarik perhatian pengundi - Mujibu

Faida Rahim
Ogos 17, 2024 12:00 MYT
Mujibu berpendapat, meskipun isu pembangunan infrastruktur agak rapat dengan penduduk luar bandar namun sentimen keagamaan lebih mendapat tempat untuk memenangi hati pengundi kali ini.
KUALA LUMPUR: Isu pembangunan dikatakan tidak lagi relevan dimainkan semua parti bertanding untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis berpendapat, meskipun isu pembangunan infrastruktur agak rapat dengan penduduk luar bandar namun sentimen keagamaan lebih mendapat tempat untuk memenangi hati pengundi kali ini.
"Sentimen Melayu Islam itu semakin mengambil tempat di sebalik isu pembangunan. Ini kerana, barangkali ada kefahaman bahawa sesiapa pun yang menjadi kerajaan, adalah lumrah bahawa mereka perlu membawa pembangunan.
"Maka isu Islam dan Melayu itu lebih menarik (bagi pengundi). Saya melihat bahawa isu dan sentimen seperti ini menjadi sesuatu yang lebih besar di kalangan pengundi.
"Lihat apa yang berlaku dalam PRK Sungai Bakap. Itu menjadi point terbesar untuk mengalahkan calon daripada Kerajaan Perpaduan dan membolehkan calon Perikatan Nasional memenangi kerusi tersebut.
"Jadi trend itu dibawa ke PRK Nenggiri dan saya melihat saiz pengundi 20,000 itu lebih senang diurus. Jadi isu-isu mengurus itu lebih senang guna pendekatan sentimen berbanding penawaran isu setempat," katanya dalam AWANI Pagi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mujibu berpendapat Nenggiri bukan kerusi selamat buat Barisan Nasional (BN) meskipun kawasan berkenaan merupakan kubu kuat parti tersebut.
"Meskipun BN berjaya memenangi hati pengundi Nenggiri pada PRU14 lalu, margin kemenangan masih rendah dan bukan menang dengan selesa. Margin itu memperlihat kerusi itu boleh swing kepada mana mana parti, tetapi ia bukan kerusi selamat.
"Meskipun BN telah menguasai kerusi ini sejak sekian lama namun PN telah membina momentum di situ. Gelombang Melayu Islam ini bagaimanapun tidaklah memihak sepenuhnya kepada PN dan UMNO masih mempunyai tempat di kalangan pengundi," katanya.
#PRK Nenggiri #isu pembangunan #sentimen agama #trend politik
;