PRK Nenggiri: 'Hangpa menang tak apa, kita menang tak boleh' - Zambry
Firdaus Azil
Ogos 18, 2024 19:55 MYT
Ogos 18, 2024 19:55 MYT
KUALA LUMPUR: Dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu, atas faktor penipuan dan manipulasi, adalah sikap tidak profesional.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, tuduhan seperti itu adalah lumrah atau kelaziman yang sering dilakukan oleh 'pihak sana', dan situasi pasti berbeza kalau PN yang memenangi PRK tersebut.
Katanya lagi, ia sama sekali berbeza dengan BN dan Kerajaan Perpaduan yang menerima dengan hati terbuka dan bersikap profesional biarpun mereka juga pernah mengalami kekalahan dalam siri-siri PRK sebelum ini.
“Seperti mana kita dalam BN, dan juga dalam Kerajaan Perpaduan, apabila kita kalah, kita terima dengan hati terbuka, tak buat kenyataan secara terbuka tuduh itu ini, penipuan itu ini, manipulasi, bermain dengan soal agama kaum dan sebagainya.
“Jadi saya nak beritahu kepada mereka, jadilah manusia yang profesional, setiap pilihan raya ada yang kalah ada yang menang. Kali ni BN menang, terimalah (hakikat), dan jangan buat tuduhan. Dalam bahasa mudah, ‘kalau hangpa menang takpa, kita menang tak bulih’,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Ahad.
Beberapa pemimpin PN mendakwa kemenangan tersebut adalah disebabkan lawan mereka menggunakan jentera kerajaan, serta melakukan politik wang. Bagaimanapun masih belum ada sebarang laporan dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.
Dalam PRK tersebut, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan kemenangan majoriti besar sebanyak 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.