PRK Nenggiri diteruskan selepas Azizi tarik balik rayuan

Bernama
Ogos 15, 2024 11:15 MYT
Mohd Azizi (gambar) turut menarik balik permohonan bagi injunksi Erinford. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim telah menarik balik rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi sementara bagi menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika dihubungi Bernama berkata Mohd Azizi turut menarik balik permohonan bagi injunksi Erinford.
Beliau berkata panel tiga hakim yang bersidang pada prosiding secara dalam talian hari ini yang terdiri daripada Hakim Datuk P. Ravinthran dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dari Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Shahid telah menolak rayuan dan permohonan Mohd Azizi untuk mendapatkan Erinford pada prosiding dalam talian hari ini.
Peguam Mohd Azizi Datuk Seri Rajan Navaratnam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Injunksi Erinford ialah perintah mahkamah khusus bagi menghentikan pihak lain daripada berurusan dengan perkara berkaitan tindakan undang-undang sehingga proses rayuan selesai.
Dengan penarikan balik rayuan dan permohonan injunksi Erinford, Awang Armadajaya berkata PRK itu akan berlangsung seperti dijadual Sabtu ini.
Beliau berkata semasa prosiding, beliau telah memohon kos RM50,000 kerana kelewatan penarikan balik rayuan itu, memandangkan beliau telah bertungkus lumus untuk menyiapkan kes itu termasuk bekerja pada lewat malam, dan ia kemudiannya dipersetujui responden lain.
Awang Armadaya berkata mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azizi untuk membayar ganti rugi RM25,000 kepada Mohd Amar, RM25,000 lagi kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Hamzah Zainudin dan manakala RM25,000 lagi sebagai ganti rugi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selasa lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Mohd Azizi untuk mendapatkan perintah injunksi sementara memaksa Mohd Azizi mengemukakan permohonan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Mohd Azizi memohon injunksi sementara untuk menangguhkan PRK itu sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan mengenai penggugurannya daripada Bersatu.
Dalam saman pemulanya, Mohd Aziz menamakan Muhyiddin, Hamzah, Mohd Amar dan SPR sebagai defendan.
Pada 27 Jun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohd Azizi bagi mendapatkan injunksi sementara, dengan memutuskan yang dia tidak terjejas dan dia masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu.
Dalam saman pemulanyanya, Mohd Azizi memohon deklarasi bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun sebagai tidak sah, notis itu sendiri tidak sah dan pemecatannya dibuat dengan niat jahat.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa SPR tidak boleh meneruskan PRK Nenggiri, kerana kerusi itu masih milik beliau.
Mohd Azizi mencabar pindaan kepada Artikel 10 Perlembagaan Bersatu yang menamatkan keahlian sekiranya individu itu menyokong parti lawan, sebagai tidak sah dan menyalahi perlembagaan.
Beberapa peguam yang mewakili Mohd Amar ialah Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yusof dan peguam penasihat Kelantan Adam Mohamed manakala Chetan Jethwani mewakili Muhyiddin dan Hamzah. Peguam Senior Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai pula mewakili SPR.
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri #Mohd Azizi Abu Naim #tarik balik rayuan #permohonan injunksi sementara #Suruhanjaya Pilihan Raya