PRK Nenggiri: Awie ikrar beri khidmat kepada rakyat tanpa mengira warna politik

Bernama
Ogos 17, 2024 23:44 MYT
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bercakap pada sidang media selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang malam ini. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, berikrar untuk menjadi wakil rakyat kepada semua penduduk di kawasan itu tanpa mengira kaum dan perbezaan politik.
Lebih mesra dengan panggilan 'Awie,' beliau berkata tanggungjawab itu pastinya akan digalas sebaik mungkin kerana telah dipilih sebagai wakil kepada semua penduduk di DUN berkenaan.
"Syukur kepada Allah atas kemenangan ini, terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ayahanda Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Nenggiri), seluruh jentera dan pengundi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil rakyat di DUN ini.
"Bermula saat ini, saya akan mewakili rakyat di DUN Nenggiri, saya berikrar menjadi wakil rakyat kepada semua tanpa mengira warna dan politik sebab sudah habis hari mengundi dan saya kira tanggungjawab ini kena galas kerana saya merupakan wakil kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diumum memenangi PRK itu dengan majoriti 3,352 undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini malam ini.
Mohd Azmawi Fikri memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.
Mengulas lanjut, Awie berkata beliau tidak menyangka beroleh kemenangan dengan majoriti yang besar kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas, BN tewas dengan majoriti 810 undi.
"Di luar jangkaan saya... daripada awal, kita sudah maklum kita kalah 810 undi pada PRN lepas dan ini satu perkara yang tidak saya duga sama sekali.
"Esok, saya akan turun padang bertemu pengundi di Sungai Asap dan seterusnya ke tempat-tempat lain," katanya.
Mohd Azmawi Fikri juga akan terus menggunakan gelaran '#BudakAwie' yang diberikan kepadanya oleh pihak lawan kerana ia menjadikan beliau popular dalam kalangan penduduk.
"Terima kasih kepada pihak yang memberikan gelaran '#BudakAwie'... mungkin saya menang pada hari ini kerana gelaran itu... semestinya jenama '#BudakAwie' akan kekal," katanya.
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri #Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani #Awie #politik