PRK Nenggiri: Awie bukan 'muka' baharu - Ahmad Maslan

Bernama
Ogos 6, 2024 13:43 MYT
Ahmad berkata Awie telah 'berkhidmat' lebih 10 tahun sebelum ini untuk penduduk di kawasan itu ketika bekerja bersama bekas Ahli DUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff. - Gambar fail/Bernama
GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebenarnya bukanlah 'muka' baharu di DUN itu dan hanya mula menyantuni penduduk sehari dua.
Sebaliknya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Ahmad Maslan berkata Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu yang lebih mesra disapa sebagai Awie telah 'berkhidmat' lebih 10 tahun sebelum ini untuk penduduk di kawasan itu ketika bekerja bersama bekas Ahli DUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff.
Malah, beliau berkata Awie juga dilihat mempunyai hubungan baik bersama penduduk.
"Ab Aziz mengakui bahawa Awie telah bertugas dengannya dan telah pusing semua kawasan Nenggiri sewaktu dia menyandang jawatan ADUN.
"Tidak ramai yang mengetahui perkara ini, namun Awie bukanlah baru sehari dua berada di Nenggiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Media PRK DUN Nenggiri di Kampung Sungai Asap di sini hari ini.
Pada PRK yang ditetapkan pada 17 Ogos itu, Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan berdepan wakil Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.
PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lepas.
Ahmad berkata oleh kerana calon BN itu telah menceburi arena politik lebih awal, ia meningkatkan keyakinan partinya untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #Perikatan Nasional #PRK Nenggiri