PRK Nenggiri: Ahmad Zahid yakin Orang Asli pilih calon BN
Bernama
Ogos 16, 2024 21:28 MYT
Ogos 16, 2024 21:28 MYT
GUA MUSANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan pecutan akhir kempen Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dengan mengunjungi kesemua lima pos Orang Asli di DUN ini.
Presiden UMNO itu berkata beliau yakin lebih 2,700 pengundi Orang Asli di DUN itu akan 'istiqomah' memilih calon dipertaruhkan BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada hari pengundian esok.
"Saya mendapat laporan pelbagai di peringkat awalnya, tetapi apabila saya sendiri pergi (ke pos Orang Asli), lihat sendiri baru percaya," katanya kepada pemberita semasa program ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli Pos Pulat, di sini hari ini.
Terdahulu Timbalan Perdana Menteri mengunjungi Pos Gob, Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Pasik.
Sementara itu Ahmad Zahid sekali lagi meluahkan keyakinan bahawa BN mampu merampas semula kerusi DUN Nenggiri yang sebelum ini dipegang parti itu selama empat penggal sejak dipertandingkan pada 2004, dan hanya tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, tahun lepas.
"Dengan kerja keras yang dilakukan jentera parti di semua peringkat, saya mengharapkan esok merupakan hari yang kita lihat akhirnya ada cahaya terang di hujung terowong," katanya.
Beliau seterusnya seterusnya menyeru agar lebih 20,000 pengundi DUN Nenggiri untuk keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka esok.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada PRN Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.
-- BERNAMA