PRK Nenggiri: Ahmad Zahid sedia siasat dakwaan BN guna aset kerajaan
Bernama
Ogos 9, 2024 18:00 MYT
Ogos 9, 2024 18:00 MYT
GUA MUSANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedia melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa jentera BN menggunakan aset kerajaan semasa berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu turut mengalu-alukan pihak yang melemparkan tuduhan berkenaan untuk mengemukakan bukti mengikut saluran perundangan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Jangan hanya menuduh kita (BN) sahaja menggunakan jentera kerajaan, bagaimana pula dengan kerajaan negeri Kelantan? Saya pasti ada," katanya pada sidang media semasa program Temu Mata bersama warga Peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan masyarakat di kampung Renok Baru, di sini hari ini.
Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRN DUN Nenggiri Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di laman Facebook semalam, mendakwa bahawa kenderaan kerajaan digunakan untuk aktiviti berkempen di PRK Nenggiri, yang katanya menyalahi peraturan.
PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan, dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata walaupun kemenangan BN pada PRK itu tidak akan mengubah struktur kerajaan negeri Kelantan, namun ia sudah pasti akan mengubah nasib rakyat di DUN berkenaan.
Beliau berkata BN telah memilih calon terbaik untuk DUN itu dan Mohd Azmawi Fikri telah membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang isu peribadi.
"Kalau kita pilih calon yang baik, Insya-Allah kita akan memberikan keberhasilan yang baik kepada pemegang taruh (penduduk Nenggiri) nanti," katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru semua jentera BN untuk bekerja kuat bagi mengembalikan DUN Nenggiri kepada BN yang sebelum ini merupakan kubu kuat parti itu.
"Kita ada tempoh seminggu sahaja lagi, kita ada calon dan jentera terbaik. Tidak ada sebab mengapa kita tak boleh tebus Nenggiri untuk dimenangi oleh BN," katanya.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim, digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Kerusi DUN berkenaan telah dipertandingkan sejak 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN. Kali terakhir dimenangi Mohd Azizi.
-- BERNAMA