PRK: Nazri teruskan rancangan Salahuddin untuk Simpang Jeram jika dipilih
Bernama
Ogos 19, 2023 17:40 MYT
Ogos 19, 2023 17:40 MYT
MUAR: Calon Amanah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman berkata beliau akan meneruskan perancangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk penduduk Simpang Jeram sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di situ.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri berkata ia bagi memastikan perancangan untuk memelihara kebajikan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk kawasan berkenaan dapat diteruskan.
"Jika ditakdirkan saya memenangi kerusi di sini pada 9 Sept nanti, saya akan teruskan perancangan yang direncanakan oleh arwah (Datuk Seri Salahuddin Ayub) ketika era beliau. Selain itu, ada juga yang akan ditambah baik semata-mata untuk kesejahteraan penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu, Nazri turut berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi Amanah serta gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.
Nazri, 56, yang juga seorang jurutera merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan kini bertugas di Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Awal hari ini, Presiden Amanah mengumumkan Nazri sebagai calon PH untuk kerusi DUN Simpang Jeram manakala Suhaizan Kaiat, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor sebagai calon PH untuk Parlimen Pulai.
-- BERNAMA