PRK Mahkota: Syed Hussien calon terbaik - Ahmad Zahid

Bernama
September 14, 2024 12:50 MYT
Ahmad Zahid mengiringi calon BN Syed Hussien Syed Abdullah pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota hari ini. - Foto Bernama
KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Syed Hussien Syed Abdullah merupakan calon terbaik yang dikemukakan parti, bagi menghadapi saingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau menyifatkan Syed Hussien, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berupaya menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, mengambil kira latar belakangnya sebagai kelebihan untuk menyantuni pengundi.
"Bukan hanya beliau orang muda, tetapi juga berpendidikan di sekolah rendah kebangsaan Cina. Beliau mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai budaya, bahasa Cina dan mindset (pemikiran) Cina... di Mahkota terdapat hampir 35 peratus pengundi Cina.
"Di samping itu, beliau juga Ketua Pemuda yang mempunyai dokongan pengundi muda. Lebih 51 peratus pengundi Mahkota adalah orang muda, selain beliau juga menyantuni orang (berusia) lebih 40 tahun," katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Syed Hussien juga mendapat sokongan daripada semua sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri untuk meneruskan kesinambungan dan kecemerlangan yang telah ditonjolkan penyandang terdahulu, juga dari UMNO.
Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi BN di DUN Mahkota ialah memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, yang akan berlangsung 28 Sept.
Ini kerana pengundi di situ telah berdepan beberapa siri pilihan raya dalam tempoh yang rapat, termasuk Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri, kedua-duanya pada 2022, menyebabkan jentera parti perlu bekerja keras menyantuni pengundi bagi memastikan mereka keluar mengundi.
"Kita dapati kira-kira 50 peratus pengundi DUN Mahkota merupakan pengundi yang tinggal di luar kawasan, bukan hanya di (DUN) Mengkibol, tetapi juga luar Kluang selain ramai juga bekerja di Singapura.
"Tetapi kita lalui perundingan dengan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan (bagi) mencari jalan untuk meminta mereka keluar mengundi pada PRK ini," katanya.
DUN Mahkota dan DUN Mengkibol terletak di bawah Parlimen Kluang. Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan terdapat 66,318 pengundi berdaftar di DUN Mahkota.
Selain itu, Ahmad Zahid juga berterima kasih kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengarah PRK DUN Mahkota, yang telah memulakan gerak kerja lebih awal bagi memastikan kemenangan calon BN.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan antara calon BN Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada PRN lepas, Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
-- BERNAMA
#PRK Mahkota #Zahid Hamidi #calon Barisan Nasional #Syed Hussien Syed Abdullah
;