PRK Mahkota: PN boleh menang jika petik isu rakyat, bukan balah bab logo halal - Penganalisis
Khalis Khadir
September 29, 2024 16:00 MYT
September 29, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Taktik Perikatan Nasional (PN) yang didakwa cuba ‘memancing’ undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan memainkan isu sijil halal gagal membuahkan hasil.
Felo Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir UUM, Mujibu Abd Muis berpandangan ia sama sekali bukan ancaman besar untuk komponen Kerajaan Perpaduan menepis segala anasir terkait kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
“Di sebalik Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota ini ada sedikit kehangatan terkait isu logo halal. Namun kita lihat logo halal ini tidak jadi ancaman kepada kerajaan walaupun ia cuba dimanfaatkan oleh PN, nampaknya usaha PN itu tidak membuahkan hasil yang baik.
“Kalau ingin imbas kembali PRK Sg Bakap yang lalu, ada isu rasionalisasi harga diesel dan juga kuota matrikulasi serta BlackRock dan itu jelas dimanipulasi dengan baik dan memberi pulangan (kemenangan kepada PN),” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.
Bagaimanapun, Mujibu berpendapat kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada DUN Mahkota bukan penanda aras untuk gabungan itu berasa selesa kerana ‘suhu’ pengundi ketika PRK bersifat dinamik.
“Secara peribadi terlalu awal kemenangan itu memberi refleksi tertentu sebab PRK ini bukan mengesahkan fakta apa yang akan berlaku seterusnya sebab kalau tengok konteks Kerajaan Perpaduan itu sendiri, agak kompleks memahami situasi di Johor dan di peringkat Persekutuan.
“Ini kerana di Johor kerajaan BN terbentuk dengan majoriti yang kukuh tapi di Persekutuan kerjasama itu perlu berlaku tapi akhirnya kita dapat simpulkan memang ada sudut positif untuk BN dan Kerajaan Perpaduan kerana ia mengukuhkan kerjasama,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu apabila calonnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah menewaskan calon PN Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.