PRK Mahkota: MIC yakin pengundi india berpihak kepada BN

Bernama
September 23, 2024 10:45 MYT
Ahmad Zahid dan Syed Hussien bersorak ketika hadir Majlis Ramah Mesra Masyarakat India di Command Center BN di Kluang, semalam. Turut bersama, Onn Hafiz dan Vigneswaran. --fotoBERNAMA
KLUANG: MIC yakin undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berkata ini berdasarkan kepada maklum balas positif pengundi yang diterimanya semasa berkempen di pusat daerah mengundi (PDM), selain usaha berterusan yang dilakukan kerajaan Johor menjaga kebajikan kaum India.
"Penduduk di sini dapat melihat bagaimana BN memastikan permasalahan dihadapi pengundi diselesaikan, selain calon kita juga adalah calon yang baik, muda serta ada pengalaman politik dan datang dari keluarga banyak berjasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena PRK itu di sini semalam, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Syed Hussien.
Vigneswaran berkata MIC juga akan mempergiatkan kempen bagi mengingatkan pengundi India untuk tidak terperdaya dengan cubaan pembangkang menarik undi daripada BN.
Sementara itu, Syed Hussien berkata akan menunaikan janji untuk berkhidmat secara 'buta warna' kepada semua penduduk, jika diberikan mandat rakyat menerusi PRK itu.
PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
-- BERNAMA
#PRK Mahkota #India #MIC #S A Vigneswaran
;