PRK Mahkota: Jangan terlalu selesa, harus pulang mengundi - Tengku Zafrul

Bernama
September 16, 2024 05:30 MYT
Tengku Zafrul bergambar bersama belia Kampung Melayu setelah meluangkan masa bermain bola sepak dengan mereka, sempena kempen PRK DUN Mahkota, di Kluang, 16 Sept 2024. --fotoBERNAMA
KLUANG: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merayu semua pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 Sept ini.
Beliau berkata hal ini kerana sekitar 50 peratus pengundi bekerja di luar, yang dilihat sebagai antara cabaran dihadapi Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah memaklumkan terdapat pengundi yang bekerja di Singapura.
"Kita harap mereka pulang mengundi. Kita tidak mahu terlalu selesa dengan anggapan calon (BN-Syed Hussien Syed Abdullah) akan menang mudah di sini.
"Pengundi muda juga diingatkan tidak lupa tanggungjawab mereka," katanya selepas menghadiri program bersama belia di Kampung Melayu di sini semalam.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri optimis Syed Hussien dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi, jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat.
BN, menurut beliau sentiasa mengetengahkan calon terbaik dan latar belakang Syed Hussien yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dapat dinilai pengundi, seterusnya membantu parti mengekalkan kerusi DUN itu.
"Penduduk menyebut mereka mahu calon yang boleh berkhidmat. Beliau (Syed Hussien) bukan orang luar dan masih muda. Calon muda kita mempunyai ciri-ciri penting untuk BN menang di Mahkota," katanya.
Tengku Zafrul berkata beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama badan bukan kerajaan dan pengusaha di DUN berkenaan bagi mendengar pandangan, usul serta permasalahan dihadapi mereka pada kedatangannya ke sini semalam.
PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini melibatkan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #PRK Mahkota #pulang mengundi #Tengku Zafrul
;