PRK Mahkota: Formula terbaik kerjasama BN-PH menang PRU16

Hasimi Muhamad
September 29, 2024 17:20 MYT
Chin Tong berpandangan keputusan yang diperolehi semalam menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat - Foto FB Liew Chin Tong
KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota memberi gambaran bahawa formula terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah dengan kerjasama rapat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berpandangan, keputusan yang diperolehi semalam menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.
"Syed Hussien Syed Abdullah memperolehi 27,995 undi, iaitu 79 peratus daripada jumlah undi, manakala lawannya calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar atau lebih dikenali sebagai Coach Haizan hanya mendapat 7,347 undi.
"Majoriti yang diperolehi Syed Hussien adalah 20,648 undi," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Ahad.
Melalui kerjasama dan pentadbiran yang lebih cekap, adil serta meyakinkan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu percaya lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi dalam PRK DUN Mahkota, akan dapat dipujuk untuk kembali menyokong Kerajaan Perpaduan.
Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, beliau berkata berlaku pertandingan tiga penjuru di Mahkota, dengan BN mendapat 16,611 undi, PH (11,445 undi), manakala PN (7,614 undi) di kerusi tersebut.
"Apabila kita gabungkan undi yang diperolehi BN dan PH pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi iaitu hampir sama dengan keputusan PRK semalam.
"Ini bermakna, melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh, kebanyakan pengundi PH sudi memindahkan undi mereka kepada BN bagi PRK Mahkota," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama PH dan BN untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara.
#PRK Mahkota #kerjasama PH dan BN #PRU16 #Facebook
;