PRK Mahkota: 'Budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati' - Ahmad Zahid

Nickyson Nyambar
September 28, 2024 21:28 MYT
Menurut Ahmad Zahid, kemenangan itu juga membuka ruang buat UMNO dan Barisan Nasional termasuk Kerajaan Perpaduan untuk terus memperbaiki haluan perjuangan. - Bernama
KUALA LUMPUR : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menitipkan pesanan kepada Syed Hussien Syed Abdullah yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota supaya membalas budi, mengotakan kata-kata dan menepati janji yang telah dibuat kepada pengundi di kawasan itu.
Menerusi perkongsian di laman media sosialnya pada Sabtu, kemenangan yang dianugerahkan itu juga membuka ruang buat UMNO dan Barisan Nasional termasuk Kerajaan Perpaduan untuk terus memperbaiki haluan perjuangan selain menjadi pemangkin untuk melakar lebih banyak kejayaan di masa akan datang.
"Syukur Alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam - sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah, dengan majoriti luar biasa melebihi 20,000.
"Kemenangan ini adalah legasi jasa yang tidak ternilai Allahyarhamah Sharifah Azizah - yang telah mencurahkan seluruh jiwa raga kepada DUN Mahkota. Jasanya kekal dalam ingatan dan menjadi sumber aspirasi kami untuk terus berkhidmat menyantuni rakyat di DUN ini.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN N29 Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini," kata beliau.
Beliau dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih buat seluruh jentera BN dan rakan-rakan kompenen Kerajaan Perpaduan yang berada di DUN Mahkota yang mana ia menggambarkan kerjasama kukuh dan semangat juang yang tinggi yang seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan itu.
Ahmad Zahid juga menzahirkan rasa terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral, dan percaya kejayaan itu menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau.
"Sesungguhnya, kemenangan ini hadir bersama amanah yang berat, sebuah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
"Kemenangan di Nenggiri dan Mahkota bukanlah asbab untuk kami mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa. Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang," jelas beliau dalam kenyataan sama.
Dalam keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 9 malam Sabtu, calon BN yang diwakili Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh 27,995 undi, jauh mengatasi Mohamad Haizan Jaafar yang hanya meraih 7,347 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid, mengumumkan Syed Hussein menang dengan majoriti 20,648 undi manakala undi ditolak 339.
Kemenangan dengan majoriti besar lebih 20,000 itu menyaksikan BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan mengekalkan kerusi tersebut yang dimenangi pada 2022.
PRK DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.
Ini adalah PRK keempat tahun ini, selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK DUN Nenggiri di Kelantan.
#PRK Mahkota #Barisan Nasional #Ahmad Zahid Hamidi #Syed Hussien Syed Abdullah #balas budi #rakyat
;