PRK Mahkota: “Belum ada perbincangan rasmi, jangan tuntut itu ini,” kata Zahid kepada Pemuda Amanah

Firdaus Azil
Ogos 8, 2024 03:00 MYT
Ahmad Zahid berkata, semua pihak harus menterjemahkan semangat perpaduan dan bukannya membuat tuntutan sembarangan. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA : Masih belum ada perbincangan di peringkat pimpinan utama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berhubung calon yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam masa sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, semua pihak harus menterjemahkan semangat perpaduan dan bukannya membuat tuntutan sembarangan.
Tegas Ahmad Zahid, tuntutan yang dibuat oleh seorang Ketua Pemuda Amanah peringkat bahagian tidak sepatutnya berlaku kerana pimpinan peringkat Pusat masih belum duduk dan berbincang.
“Itu pendapat yang datang daripada ketua pemuda bahagian (Amanah), sedangkan pemimpin di peringkat Pusat, kita belum duduk dan berbincang. Kita mesti menterjemahkan semangat perpaduan, bukan menuntut itu dan ini.
“Kalau itu kerusi sebuah parti, formulanya kerusi itu akan diberikan pada parti berkenaan. Allahyarham (Datuk Sharifah Azizah Syed Zain) baru meninggal dunia, jadi kita kena simpati, dan jangan kita tergopoh-gapah buat menuntut itu dan ini. Perkhidmatan kepada rakyat harus disambung,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara 2024, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan desakan Pemuda Amanah untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota dan mereka tidak teragak-agak untuk berdepan dengan saingan tiga penjuru.
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda mendakwa, PH seperti tidak dipedulikan di neger itu sementara UMNO Johor seolah-olah tidak ikhlas dalam menyahut semangat perpaduan seperti yang ditunjukkan di peringkat Pusat.
Kenyataan Fadhli Umar mendapat reaksi negatif daripada Pemuda UMNO Johor yang melihat Pemuda Amanah seperti tamak dan gelojoh serta tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada penyandang kerusi DUN itu.
Allahyarham Sharifah Azizah, 64, meninggal dunia pada Jumaat lepas, selepas mengalami pendarahan dalaman dan sesak nafas sejak Rabu.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Sebelum ini, Sharifah Azizah merupakan ADUN Penawar dari 2018 sehingga 2022.
Sharifah Azizah meruakan anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang juga bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat iaitu dari 1978 hingga 1990.
Pada PRN Johor 2022, Allahyarham yang merupakan calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatat majoriti 5,166.
#PRK Mahkota #Pemuda Amanah #Zahid Hamidi #Sharifah Azizah Syed Zain