PRK lagi, Anwar nak kerusi mana?

Rahimah Abdullah
September 11, 2018 14:27 MYT
Anwar dikatakan mungkin akan memilih kawasan yang mungkin mempunyai potensi pembangunan ekonominya.
Esok (Rabu) dijangka teka-teki mana satu kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai laluan awal untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dijangka akan terjawab.
Pengumuman itu kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan dibuat sekembalinya Anwar dari Hong Kong.
Sudah ada cakap-cakap politik yang menyebut beberapa kerusi yang 'hot' akan jadi pilihan bakal Perdana Menteri itu.
Bagi Saifuddin, kerusi berkenaan bukan dari kawasan Utara. Jadi kerusi mana? Itu persoalan mereka yang sangat ambil tahu mengenai tokoh ini.
BACA: Mansor nafi kosongkan kerusi Parlimen Nibong Tebal untuk Anwar
BACA: Anwar akan jadi TPM dulu sebelum ganti Tun Mahathir
Kenapa Anwar perlu cepat jadi Ahli Parlimen?
Paling jelas, menurut Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pentingnya Anwar perlu jadi Ahli Parlimen iaitu sebagai salah satu perancangan peralihan kuasa dapat dilakukan atau dalam erti kata lain memastikan usaha menjadikannya sebagai Perdana Menteri berjalan lancar.
"Kenapa perlu dipercepatkan? Saya lihat Sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 15 Oktober hingga 11 Disember ini. Jadi Anwar perlu dipastikan dapat hadir sekurang-kurangnya separuh sidang tersebut. Beliau nak mengejar sidang dewan tersebut dan hadir pertengahan sidang ini," kata ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada masa sama, beliau melihat Anwar akan mengambil kira semua perkara sebelum memilih kerusi yang bakal ditandingi.
"Saya melihat pemilihan kerusi atas budi bicara Anwar untuk pilih kerusi mana sesuai. Sejauh mana kerusi dipilih itu, peratusan itu akan lebih tinggi, sejauh mana kerusi majoriti orang Melayu bermakna seperti kerusi yang ditandingi beliau sebelum ini. Ini adalah salah kriteria dilakukan oleh Anwar," tambahnya lagi.
Pada masa sama, Anwar mungkin akan memilih kawasan yang mungkin mempunyai potensi pembangunan ekonominya.
Populariti Anwar dijangka tarik jumlah keluar mengundi
Populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat akan menarik lebih ramai orang untuk mengundi dan jauh berbeza dengan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
Ketokohan yang dimiliki Anwar menjadikan PRK yang baharu ini bakal mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri.
"Tiga PRK lepas semuanya melibatkan kematian. Kedua, PRK yang lepas juga melibatkan tokoh-tokoh yang dikenali berbanding dengan tokoh yang akan menyebabkan berlakunya PRK akan datang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya percaya populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membezakan tiga PRK yang lepas dan populariti ini akan membolehkan keluar mengundi lebih baik," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Peratusan keluar mengundi PRK yang baharu ini dijangka akan melebihi 55 peratus.
Beliau memberi contoh, PRK Tanjung Datu yang diadakan pada 18 Febuari 2017 berikutan kematian Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Statistik keluar mengundi yang cecah 69 peratus pada PRK itu katanya jelas menunjukkan ketokohan memainkan peranan penting untuk menarik pengundi.
"Ini menunjukkan PRK itu bergantung kepada pelbagai keadaan. Dalam konteks ini, sejauh mana populariti ketokohan itu. Kalau tokoh itu dianggap penting, pastinya jumlah turun mengundi itu akan lebih ramai daripada tokoh yang kurang dikenali masyarakat," ujarnya.
Peralihan kuasa daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Anwar dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, namun Presiden PKR itu terlebih dahulu perlu bertanding di dalam pilihan raya dan menjadi Ahli Parlimen.
#Adenan Satem #Anwar #Anwar Ibrahim #Astro #Astro Awani #Ketua Menteri #Mahathir Mohamad #Malaysia #Melayu #Pakatan Harapan #Parlimen #Parti Keadilan Rakyat #pemilihan #Perdana Menteri #pilihan raya #pilihan raya kecil #PKR #politik #presiden #prklagi
;