PRK Kuala Kubu Baharu: Tular pula isu hutang, calon PN enggan jawab
Sinar Harian
Mei 2, 2024 11:40 MYT
Mei 2, 2024 11:40 MYT
HULU SELANGOR: Selepas kontroversi mengenai status akademiknya, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut sekali lagi terpalit dakwaan hutang melibatkan perkhidmatan kredit komuniti.
Walau bagaimanapun, pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu mengambil langkah selamat apabila mengelak daripada mengulas isu tersebut ketika ditanya pemberita selepas Ceramah Perdana PN di Batang Kali, malam Rabu.
Beliau memberi alasan perlu ke lokasi lain walaupun had waktu berkempen dalam setiap pilihan raya setakat jam 12 tengah malam.
"No comment (tiada komen), terima kasih. Saya perlu ke lokasi lain," katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu.
Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kredibiliti calon PN kelahiran Felda Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.
Sejak hari penamaan calon PRK pada 27 April lalu, Khairul Azhari berdepan kontroversi apabila pelbagai pihak mempersoalkan kelayakan ijazah sarjana tanpa memiliki ijazah sarjana muda.
Rentetan itu beliau menerusi hantaran di Facebook memuat naik sijil dan transkrip Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Tindakan tersebut sekali gus menamatkan pertikaian banyak pihak selain memaklumkan enggan mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan kepada kempen PRK Kuala Kubu Baharu. - Sinar Harian