PRK Kuala Kubu Baharu: Semua pihak dinasihat elak provokasi, 3R - Saifuddin Nasution

Bernama
April 27, 2024 17:17 MYT
Saifuddin ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah di Perumahan Awam Sri Sabah, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang unsur provokasi termasuk memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) yang boleh mencetuskan ketegangan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semua pihak juga perlu mematuhi undang-undang dan mengawal percakapan ketika berkempen atau berceramah serta menjaga penulisan dalam media sosial.
"Apa juga elemen yang bersifat membinasakan, yang tidak sesuai diungkap dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum, maka kita sarankan semua pihak untuk elak dan jauhkan," katanya selepas merasmikan Karnival Percegahan Jenayah di Flat Sri Sabah, Cheras di sini hari ini.
Program sehari itu, yang turut diisi dengan acara sambutan Aidilfitri, memfokus kepada elemen pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat setempat.
Saifuddin Nasution turut meminta semua pegawai dan anggota polis yang bertugas sepanjang PRK itu supaya sentiasa mengekalkan sikap profesional mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telahpun mengambil langkah awal dengan bertemu pasukan yang bertugas sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu," katanya.
Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata Pang Sock Tao adalah calon tepat bagi mewakili gabungan politik berkenaan berdasarkan latar belakang akademik dan pengalaman kerja beliau.
"Saya percaya pemilih di Kuala Kubu Baharu akan membuat penilaian yang munasabah kerana calon ini muda, ada pengalaman kerja yang baik, merupakan anak kelahiran negeri Selangor, ada latar belakang pendidikan yang bagus serta mempunyai pengalaman berkhidmat dalam parti dan dalam kerajaan," katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
-- BERNAMA
#PRK Kuala Kubu Baharu #Saifuddin Nasution #isu 3R #Razarudin Husain
;