PRK Kuala Kubu Baharu: PN muktamad calon esok, umum 25 April - Muhyiddin
Hasimi Muhamad
April 21, 2024 13:25 MYT
April 21, 2024 13:25 MYT
HULU SELANGOR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu esok dan dijangka mengumumkan calon mereka pada 25 April ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu memiliki banyak calon sesuai dan mengalu-alukan parti komponen untuk mengemukakan senarai masing-masing.
Jelas beliau, calon yang diputuskan kelak akan mengambil kira pelbagai faktor bagi menentukan kebolehmenangan pada 11 Mei ini.
“Tetapi yang penting kita akan nilai, siapa calon yang dinamakan; kelayakan-kelayakan termasuk akademik, dan penglibatan dalam bidang bukan kerajaan. Sebaik mungkin adalah calon dari kawasan Hulu Selangor, (kerana) biasa ada sentimen mahukan orang tempatan, dan ada faktor-faktor lain.
“Ada yang mahukan calon tempatan dan Melayu tetapi kita ambil kira dan akan bincang. Peluang untuk menang itu lebih baik (berdasarkan calon).
“Kawasan ini DAP dan tak tahu calon sebenar mereka. Tetapi kami ada strategi untuk memperoleh sokongan majoriti,” katanya di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang turut dihadiri pimpinan tertingggi parti dan ribuan pengunjung.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menambah, calon yang disenarai pendek untuk PRK Kuala Kubu Baharu perlu melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Ujar beliau, komposisi pengundi di PRK berkenaan melibatkan 46 peratus Melayu; 30 peratus (Cina); 18 peratus (India) dan lain-lain (lima peratus).
Mengenai hasrat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk bertanding dalam PRK berkenaan pula, Muhyiddin berkata perkara itu tidak salah.
“Tetapi keputusan muktamad adalah Majlis Tertinggi PN,” ujarnya lagi.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.