PRK Kuala Kubu Baharu: Pemimpin masyarakat India diminta jangan tabur fitnah - Ramanan

Bernama
April 25, 2024 19:32 MYT
R. Ramanan pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Bersama Masyarakat India Kuala Kubu Baharu di Dewan Merdeka Kuala Kubu Baharu hari ini. - Foto Bernama
HULU SELANGOR: Pemimpin tertentu masyarakat India diingatkan supaya tidak menyebarkan fitnah dan maklumat salah sebagai senjata bagi meraih undi komuniti itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata perbuatan seperti perlu dielakkan kerana ia tidak produktif dalam membantu membangunkan masyarakat India dalam jangka panjang.
"Sedih kita nampak bila mereka buat fitnah kerana apabila mereka menyebarkan maklumat yang salah, ia akan membuatkan komuniti ini tak dapat menikmati bantuan yang telah disediakan.
"Sebagai contoh, apabila kita (agensi kerajaan) buat pengumuman bantuan yang telah disediakan, mereka ini akan cari cara untuk putar belit benda itu... kalau benar tak apa, ini fitnah dia putar belit dan yang jadi mangsa siapa? Komuniti India juga," katanya kepada media selepas meninjau sesi Ramah Mesra Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr Gunaraj George dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran.
Pada masa sama, Ramanan berharap pemimpin India yang lain akan turun padang dan memberi penerangan kepada komuniti itu mengenai pelbagai inisiatif kerajaan bagi membantu kaum berkenaan bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan fitnah yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, mengulas mengenai Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang secara rasmi diterima sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), Prabakaran yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah berkata ia hanyalah gimik untuk menarik sokongan komuniti berkenaan.
"Tapi gimik itu adalah stail lama dan sudah tidak laku pada zaman sekarang sebab saya percaya pengundi di KKB matang dan akan pilih wakil kerajaan yang betul-betul kerja untuk semua masyarakat," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian bagi PRK KKB di Selangor pada 11 Mei manakala penamaan calon Sabtu ini dan pengundian awal pada 7 Mei.
PRK itu adalah yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 dan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
-- BERNAMA
#PRK Kuala Kubu Baharu #pemimpin masyarakat India #r ramanan #tabur fitnah
;