PRK Kuala Kubu Baharu: MB nafi rumah terbuka Selangor langgar akta
Sinar Harian
April 28, 2024 13:30 MYT
April 28, 2024 13:30 MYT
HULU SELANGOR: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada Sabtu malam di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana tiada sebarang unsur kempen dibuat ketika majlis tersebut.
"Kita telah atur lebih kurang sebulan lalu atau lebih khusus pada awal Ramadan yang lepas untuk menetapkan tarikh hari raya dan majlis jamuan ini.
"Ini bukan program kempen atau parti politik tetapi (program) kerajaan negeri. Sepanjang program ini juga tidak ada langsung elemen kempen.
"Tetapi, kalau orang datang pakai baju (ada unsur parti) saya tidak boleh halang atau suruh tukar baju," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bahawa penganjuran rumah terbuka itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam AKPR.
Bersih dalam masa sama mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka ini kerana ia dianjurkan di kawasan dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berjalan.
Sementara itu, ditanya punca pembatalan acara penyampaian sumbangan raya yang separutnya diadakan dalam majlis tersebut, Amirudin berkata, tindakan dibuat atas nasihat pelbagai pihak.
"Setelah kita dapat nasihat dan sebagainya (kita buat keputusan untuk batal) kerana tidak mahu ada tafsiran yang bukan-bukan.
"(Jadi) kita ambil langkah berjaga-jaga atas teguran tersebut (supaya batal sumbangan duit raya)," katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.
PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas, Nyau Ke Xin. - Sinar Harian