PRK Kuala Kubu Baharu: BN pamer komitmen tinggi pastikan kemenangan calon - Loke
Bernama
April 27, 2024 15:31 MYT
April 27, 2024 15:31 MYT
HULU SELANGOR: Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata ini dibuktikan dengan kehadiran Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika proses penamaan calon hari ini.
Beliau berkata selain itu jentera Wanita UMNO juga telah digerakkan bagi membantu siri kempen calon.
"Kita tiada masalah bekerjasama dengan parti komponen Kerajaan Perpaduan...hari ini pun Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah hadir bagi memberi sokongan.
"Saya nampak komitmen yang cukup tinggi daripada BN...Wanita UMNO juga telahpun digerakkan dengan ditambah dengan jentera PH, kita yakin kita akan dapat menjalankan kempen dengan baik," katanya di sini hari ini.
Menteri Pengangkutan itu berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.
PRK KKB yang bermula hari ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao yang dipertaruhkan untuk mewakili PH, dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.
-- BERNAMA