PRK Kuala Kangsar: Zahid nafi Mastura dipaksa jadi calon BN

Harits Asyraf Hasnan
Jun 7, 2016 18:34 MYT
AHMAD ZAHID: Saya hairan bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan saya sendiri yang terlibat mengumumkan nama beliau (Datin Mastura) sebagai calon Barisan Nasional (BN). -Gambar fail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan dakwaan pembangkang bahawa Datin Mastura Mohd Yazid dipaksa bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Katanya, perkara itu adalah tidak benar sebaliknya merupakan permainan politik pembangkang untuk meracuni pemikiran pengundi.
"Saya hairan bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan saya sendiri yang terlibat mengumumkan nama beliau (Datin Mastura) sebagai calon Barisan Nasional (BN).
"Malah, sebelum pengumuman itu saya sudah berjumpa dengan beliau dan mendengar persetujuan yang diberikan. Jadi tidak timbul istilah calon paksa di situ dan kita anggap ia hanyalah permainan psikologi oleh pembangkang semata-mata."
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di Pusat Daerah Mengundi Ulu Kenas di sini hari ini.
Sebelum ini, pencalonan Mastura dipertikai sesetengah pihak memandangkan tempoh idahnya masih belum berakhir berikutan kematian suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga penyandang bagi kerusi parlimen berkenaan.
Dalam pilihan raya kecil itu, Mastura berdepan lawannya dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad; calon Amanah yang diwakili Dr Ahmad Termizi Ramli; dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
#dipaksa bertanding #Mastura Mohd Yazid #pilihan raya kecil #PRK Kuala Kangsar #Zahid Hamidi
;