PRK Kuala Kangsar: Puteri UMNO tumpu lebih 7,000 pengundi muda

Bernama
Mei 22, 2016 05:20 MYT
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Mas Ermieyati Samsudin (dua,kanan) bergambar selfie bersama anggota pergerakan Puteri UMNO selepas Majlis Pelancaran Jentera Puteri UMNO bagi Pilihan Raya Kecil P067 Kuala Kangsar semalam. - FotoBERNAMA
Pergerakan Puteri UMNO akan memberi tumpuan kepada lebih 7,000 pengundi wanita berumur bawah 40 tahun pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bulan depan.
Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bagi memastikan usaha mendekati kumpulan itu berjaya, seramai 500 anggota Puteri UMNO dari Kuala Kangsar dan bahagian lain akan bertugas sepanjang kempen PRK tersebut.
"Pergerakan Puteri UMNO negeri telah melakukan penyelarasan jentera kempen di setiap pusat daerah mengundi. Setakat hari ini saya amat berpuas hati dengan kelicinan gerak kerja demi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
"Kami akan mendekati pengundi dengan mengenal pasti isu-isu berbangkit seperti isu pekerjaan, ekonomi dan sosial," katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera Puteri UMNO PRK Kuala Kangsar di sini hari Sabtu.
Hadir sama Ketua Puteri UMNO Perak Salbiah Mohamed dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Mohd Kamil Shafie.
Sementara itu di LARUT, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta pengundi di Kuala Kangsar memberi sokongan kepada calon BN untuk memastikan kelangsungan pembangunan di kawasan itu.
Beliau berkata telah terbukti kerajaan BN yang memerintah negara telah berjaya membawa pelbagai kemajuan kepada rakyat termasuk pendidikan dan ekonomi.
"Saya yakin dengan sokongan rakyat matlamat untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 tercapai," katanya kepada pemberita selepas majlis Kenduri Kampung di Kampung Changkat Perah, Batu Kurau.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wah Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun manakala penamaan calon pada 5 Jun.
#Barisan Nasional #Kuala Kangsar #PRK