PRK Kuala Kangsar: Pusat pengundian ditutup
Bernama
Jun 18, 2016 17:54 MYT
Jun 18, 2016 17:54 MYT
Proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar hari ini tamat apabila semua 23 pusat pengundian ditutup pada 5 petang setelah dibuka 8 pagi tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata proses pengiraan undi kini berlangsung di pusat mengundi berkenaan.
"Selepas selesai (proses pengiraan), peti-peti undi itu akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata keputusan rasmi PRK itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada 9 malam ini.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
Ia diadakan serentak dengan PRK kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor susulan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas sama.