PRK Kuala Kangsar: Mastura boleh keluar mengundi - Mufti Perak

Bernama
Jun 11, 2016 22:12 MYT
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter Mei lepas. - Gambar fail
Datin Mastura Mohd Yazid boleh melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Bagaimanapun beliau berkata calon Barisan Nasional itu perlu menjaga adab, mematuhi etika berpakaian yang bersesuaian dan tidak terlalu menonjolkan diri kepada khalayak ramai.
"Mastura boleh keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mastura, 55, dalam sidang media di kediamannya hari ini berkata beliau akan merujuk kepada pakar agama sebelum memutuskan untuk hadir atau tidak ke pusat pengundian di SK Raja Perempuan Muzwin pada hari pengundian PRK itu.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.
#Barisan Nasional #BN #edah #Harussani Zakaria #Mastura Mohd Yazid #PRK #PRK Kuala Kangsar
;