PRK Kuala Kangsar: 'Anak emas' arwah bapa diiktiraf universiti - Wan Emir

Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2016 16:40 MYT
KUISAS sememangnya dianggap sebagai 'anak emas' bapa Wan Emir (lima dari kiri) memandangkan Kuala Kangsar amat terkenal sebagai hub pendidikan di negara ini. - Foto Astro AWANI / Harits Asyraf Hasnan
Anak sulung bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Emir Wan Mohamed Khair-il Anuar, 26, menganggap pengumuman naik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada status universiti sebagai bukti kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi impian Allahyarham bapanya.
Katanya, KUISAS sememangnya dianggap sebagai 'anak emas' bapanya memandangkan Kuala Kangsar amat terkenal sebagai hub pendidikan di negara ini.
"KUISAS memang dianggap sebagai 'anak emas' nya dan menjadi impian bapa selama ini untuk melihat KUISAS menjadi universiti memandangkan Kuala Kangsar amat dikenali sebagai pusat gedung ilmu seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Kangsar (Clifford)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Senggang di sini hari ini.
Hadir sama adiknya, Wan Iskandar, bekas Adun Manong, Datuk Ahmad Jaafar dan Adun Belanja, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria.
Wan Emir juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan kelulusan pembinaan Jambatan Manong dan jalan sekitarnya bernilai RM43.5 juta.
"Saya ibu dan adik-adik kami terkenang dan terfikirkan bapa sebaik sahaja Perdana Menteri mengumumkan kelulusan jambatan itu kerana ia merupakan usaha keras bapa selama ini bagi mendapatkannya untuk kemudahan orang Manong," katanya.
Selain itu, beliau berharap tiga perkara lagi impian bapanya yang masih belum kesampaian iaitu melebarkan jalan Manong Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada Hospital Pakar dan membangunkan semula Lembah dan Tebing Sungai Perak sebagai Pusat Pelancongan dapat disegerakan untuk penduduk Kuala Kangsar.
#PRK #PRK Kuala Kangsar #Wan Emir #Wan Mohamed Khair-il
;