PRK Kimanis: Pengalaman sebagai ADUN jadi 'senjata' calon UMNO
Ruzaini Zulkepli
Januari 1, 2020 14:15 MYT
Januari 1, 2020 14:15 MYT
Pengalaman pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan dan menjawat portfolio penting parti akan dijadikan 'senjata' buat calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin untuk menghadapi PRK Kimanis.
Menurutnya, selain daripada pengalaman berharga berbelas tahun itu, ia turut ditambah dengan sokongan mantan Ahli Parlimen Kimanis sebelum ini, Datuk Seri Anifah Aman kepada parti berkenaan.
Mohamad yang dipilih sebagai calon BN untuk berentap dalam PRK Kimanis pada 18 Januari hadapan itu turut optimis rakyat di Parlimen berkenaan akan terus menyokong, apatah lagi ia merupakan kubu kuat UMNO sejak dahulu.
"Bukan setakat pengalaman sebagai ADUN selama lima tahun, tapi saya juga adalah dua tahun sebagai ketua pemuda UMNO bahagian, kemudian naib Ketua UMNO Bahagian yang jawatan-jawatan dalam parti ini sebenarnya merangkumi kawasan satu Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon BN di Kimanis Centro, Kimanis pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan menekankan isu rakyat di kawasan terutamanya berkait mengenai masalah kos sara hidup serta kehidupan nelayan di Parlimen berkenaan.
"Isu rakyat, sekarang ini cukup mendesak, kos hidup semakin meningkat, yang dijanjikan sebelum ini macam-macam insentif.
"Di Kimanis ini ramai nelayan, sebelum ini kita bagi kos bantuan sara hidup banyak, juragan dan nelayannya dapat dua-dua sekarang ini hanya dapat seorang, dikurangkan pula," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam sidang medianya bersempena pengumuman itu berkata, pemilihan Mohamad dilakukan selepas pucuk pimpinan mengadakan empat pusingan bagi memilih calon yang sesuai.
"Setelah membuat empat pusingan, membuat soladiriti untuk mencari calon yang sesuai yang boleh menepati kriteria yang kami tetapkan,maka dengan ini saya ingin mengumumkan calon yang mendapat pilihan rakyat dibawah dalam empat pusingan iaitu Datuk Mohamad Alamin," katanya.
Bung dalam pada itu berkata, pihaknya akan bersedia mempertahankan kerusi UMNO di Kimanis dan akan melakukan sebaik mungkin bagi memenangi PRK Kimanis nanti.
#ADUN
#Anifah Aman
#Barisan Nasional
#Bung Moktar Radin
#Kimanis Memilih
#Mohamad Alamin
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#UMNO