PRK Kimanis: Mohamad Alamin calon BN - Bung Moktar

Ruzaini Zulkepli
Januari 1, 2020 12:45 MYT
Pemilihan Mohamad (gambar) dibuat selepas penapisan sebanyak empat kali oleh pucuk pimpinan parti. Astro AWANI
Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang dijadual berlangsung 18 Januari ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pada satu sidang media di sini hari ini.
Bung berkata, pemilihan Mohamad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu amat bertepatan bagi mempertahankan kerusi Parlimen yang sebelum ini dimiliki UMNO.
Jelasnya, pemilihan Mohamad dibuat selepas penapisan sebanyak empat kali yang dilakukan pucuk pimpinan parti.
Penamaan calon yang bertanding bagi PRK Kimanis akan diumumkan pada 4 Januari hadapan.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 pada Mei 2018.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Pada PRU14, Anifah yang juga bekas menteri luar bertanding atas tiket BN dan memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi.
Anifah mengumumkan keluar UMNO, parti komponen BN pada September 2018 dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat Bebas.
Pada 18 Jun 2018, Karim memfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah.
Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.
#ADUN Bongawan #Barisan Nasional #Bung Moktar Radin #calon #Mohamad Alamin #pilihan raya kecil #PRK Kimanis #UMNO
;