PRK Kimanis: Masyarakat KDM tidak akan terpengaruh - Peter Anthony
Ruzaini Zulkepli
Januari 6, 2020 11:49 MYT
Januari 6, 2020 11:49 MYT
Datuk Peter Anthony optimis masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di Kimanis tidak akan terpengaruh dengan "dakyah songsang" pihak pembangkang mengenai isu pendatang haram.
Menurutnya, pihaknya yakin penduduk daerah itu tidak terhasut dengan 'cakap-cakap' yang mengatakan kerajaan yang ditadbir Parti Warisan Sabah (Warisan) memelihara pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ini termasuklah usaha kerajaan melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) yang sering menjadi bahan pihak pembangkang mengalihkan isu sebenar di kawasan itu, kata Naib Presiden Warisan itu.
Dakwanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlalu lama berkuasa sehingga mengabaikan pembangunan sejagat.
"Sebenarnya masalah PSS sengaja digembar-gemburkan. Ini adalah untuk kelangsungan politik bagi mereka yang sudah ketandusan idea, sudah tidak ada cara untuk mereka buat," katanya.
Menurut Peter, beliau tidak menafikan ada masyarakat KDM di kawasan Kimanis yang terkeliru dengan isu PSS namun bagi pihak parti, perkara berkenaan adalah sebagai usaha berterusan menyelesaikan masalah PATI di Sabah.
"Bagi masyarakat KDM tentunya apa yang mereka khuatirkan adakah PSS ini boleh memohon warganegara, tetapi sudah dinyatakan ia sama sekali tidak boleh memohon warganegara," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis 18 Januari ini, Peter memaklumkan, bilangan pengundi bagi masyarakat KDM kini mencecah kira-kira 40 peratus.
Jumlah itu merangkumi 29,664 pengundi berdaftar.
Jelasnya lagi, faktor masyarakat KDM yang memeluk Islam menyumbang kepada jumlah tersebut memandangkan mengikut statistik Pilihan Raya Umum ke-14, pengundi KDM bagi Parlimen Kimanis hanya sekitar 30 peratus.
#Barisan Nasional
#KDM
#kerajaan
#Kimanis Memilih
#Pas Sementara Sabah
#pati
#pembangkang
#pendatang haram
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#PSS
#UMNO
#warganegara