PRK Kimanis: Karim Bujang diumum calon PH-Warisan

Ruzaini Zulkepli
Januari 2, 2020 18:17 MYT
Menurut Mohd Shafie, pemilihan Karim yang juga bekas ADUN Bongawan itu amat tepat dengan citarasa pengundi setempat. - Foto Astro AWANI
Ketua Warisan Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH)-Warisan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari nanti.
Pengumuman calon daripada parti pemerintah itu dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Terbuka Membakut, Kimanis, sebentar tadi.
Mohd Shafie dalam ucapan pengumumannya berkata, pemilihan Karim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu amat tepat dengan citarasa pengundi setempat.
Selain itu, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah turut mengambil kira kegigihan pihak Karim yang membawa kes petisyen Parlimen Kimanis ke mahkamah sehingga keputusan pembubaran kerusi tersebut.
"Selepas membuat keputusan pada hari ini, saya dengan itu mengumumkan Datuk Karim, anak watan di Kimanis ini sebagai calon kita dalam PRK Kimanis," katanya.
Beliau berkata, selain daripada menepati citarasa tempatan dengan kedudukannya sebagai anak jati daerah itu, kegigihan pihak Karim yang membawa kes petisyen Parlimen Kimanis ke mahkamah sehingga keputusan pembubaran kerusi tersebut turut diambil kira.
"Kita perlu bergerak untuk memastikan bahawa calon yang kita letak ini mendapat kejayaan dan calon ini merupakan tokoh yang banyak pengalaman," jelasnya.
Sementara itu, Karim ketika ditanya mengenai persiapan jentera PRK Kimanis, memaklumkan pihaknya menyedari tentang senario yang berbeza berbanding situasi Warisan sebagai pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.
"Memang kalau dahulunya kami berhadapan dengan parti kerajaan di mana Parti Warisan adalah parti pembangkang. Hari ini keadaan itu sudah jauh berubah di mana Warisan telah menubuhkan kerajaan dan Pakatan Harapan telah pun jadi kerajaan persekutuan.
"Jadi saya rasa senario akan jauh berbeza berbanding pilihan raya umum yang lalu. Saya tidak boleh mengecewakan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya," katanya.
Dengan penampilan Karim sebagai calon PRK untuk PH-Warisan pada hari ini, menyaksikan dua calon sudah mengesahkan akan bertanding dalam PRK Kimanis.
Semalam, calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin diumumkan sebagai wakil parti pembangkang.
BACA: PRK Kimanis: Mohamad Alamin calon BN - Bung Moktar
Tarikh penamaan calon bagi PRK Kimanis akan diumumkan pada 4 Januari hadapan.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam PRU14 lalu.
Untuk rekod, daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis adalah seramai 29,664 pengundi mengikut data terkini.
#Karim Bujang #Mohd Shafie Apdal #Pakatan Harapan #Parlimen Kimanis #PH-Warisan #PRK Kimanis #Warisan
;