PRK Kimanis: BN nafi markas PDM tutup
Ruzaini Zulkepli
Januari 10, 2020 08:39 MYT
Januari 10, 2020 08:39 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) menafikan sebuah Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kimanis di Bandau ditutup seperti diura-urakan pihak lawan.
Datuk Mohamad Alamin berkata, sebenarnya ia melibatkan sebuah sub markas atau mini markas, bukannya markas utama PDM, dan ia belum beroperasi secara rasmi.
"Kita menerima satu maklumat bahawa ada satu mini markas, bukan markas utama, mini markas yang direncanakan untuk diaktifkan. Tetapi ia belum aktif, ia baru sahaja mahu diaktifkan untuk PDM Bandau.
"Jadi, dikhabarkan, kononnya ada pihak yang terlibat atau tuan rumah yang dipujuk parti lawan untuk menyertai mereka, dan kononnya markas itu ditutup, sedangkan markas itu belum beroperasi secara rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kempen di PDM Pimping, Membakut, malam tadi.
Terdahulu, pada Khamis, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan penutupan PDM Bandau di Kampung Bandau, Kimanis susulan 57 ahli penyokong membuat keputusan untuk keluar parti tersebut.
Mengulas lanjut perkara berkenaan, Mohamad berkata, pihaknya beranggapan insiden terbabit merupakan lumrah dalam kempen PRK dan tidak menjejaskan momentum jentera berkempen.
Tambahnya meskipun ia mengelirukan, beliau tetap optimis rakyat di Kimanis bijak menilai senario semasa yang berlaku pada PRK itu.
"Ya ini amat mengelirukan. Mereka ingin mewujudkan suasana itu kerana markas baru sahaja direncanakan untuk diaktifkan. Jadi, no such thing, yang markas ditutup, tidak ada.
"Jadi jangan kelirulah. Saya ingat, di antara kita kena faham, kena maklum, semua perlu terus fokus dalam PRK ini," katanya.
#Barisan Nasional
#calon
#keluar parti
#Kimanis Memilih
#markas PDM tutup
#mini markas
#Mohamad Alamin
#Parlimen
#PDM Bandau
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#Pusat Daerah Mengundi
#sub markas
#Warisan