PRK: Keputusan PRN Sarawak bukan cerminan Sungai Besar, Kuala Kangsar

Harits Asyraf Hasnan
Mei 15, 2016 17:18 MYT
Mohamad (depan, dua dari kanan) berkata Amanah menerusi Pakatan Harapan sedia berdepan dengan mana-mana musuh mereka termasuk daripada Pas. -Gambar Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak mencerminkan keputusan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata Pakatan Harapan yang sebelum ini Pakatan Rakyat menang dengan cemerlang ketika berdepan pertembungan 15 penjuru pada PRK Bukit Selambau pada 2009.
Malah, Mohamad berkata, Amanah menerusi Pakatan Harapan (PH) sedia berdepan dengan mana-mana musuh mereka termasuk daripada Pas.
"Kami dulu, parti lama kami Pas. Pilihan raya 1999, kami hilang semua deposit. Tapi bila datang PRU, kami menang di Kelantan dan Terengganu. Sarawak tidak boleh menjadi ukuran di Semenanjung.
BACA: PRK: Otai Reformis desak Pakatan Harapan ketengah calon Amanah
"Kita biasa bertanding, 15 penjuru di Bukit Selambau dan Pakatan Rakyat pada waktu itu menang dengan cemerlang. Tiada masalah dengan itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Amanah di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.
Ditanya pandangan Amanah jika Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Sungai Besar, Mohamad berkata Amanah tidak perlu mengambil tahu isu tersebut.
"Parti di dalam Pakatan Harapan ada tiga iaitu DAP, PKR dan Amanah. Luar daripada Pakatan Harapan kami tidak tahu apa-apa," katanya yang enggan mengulas lanjut perkara tersebut.
Tambahnya, Majlis Presiden PH masih belum memutuskan mana-mana parti yang akan bertanding pada PRK tersebut.
Justeru, katanya tidak wujud keperluan bagi parti itu untuk mengumumkan senarai calon yang akan bertanding.
Bagi Mohamad, PH kini perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya pesaing kepada Barisan Nasional (BN) berdepan PRK tersebut.
Pada PRN Sarawak ke-11 lalu, Amanah tewas di semua 13 kerusi yang ditandingi sama dengan seterunya, Pas yang turut tewas semua 11 kerusi.
MESEJ PAS KEPADA AMANAH JELAS
Sementara itu, Pas mahu pertembungan satu lawan satu di kedua-dua kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Mesej Timbalan Presiden Pas kepada Pakatan Harapan jelas, "jangan letak calon kalau mahu pembangkang menang".
Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, Parti Amanah Negara (Amanah) terutamanya perlu tahu pertembungan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada penyandang, Barisan Nasional (BN).
"Kalau parti Amanah sewaktu dilancar sebut tujuan parti Amanah diwujudkan adalah kerana untuk lawan UMNO, menumbangkan UMNO dan BN.
"Kalau kita lihat kerusi ini kerusi tradisi Pas, sama ada sebelum ada Pakatan Rakyat dan semasa Pakatan Rakyat dan Pas telah isytihar awal bahawa kita akan kekal di kerusi tersebut.
"Jadi kalau Amanah letak calon, dia hanya akan memberi ruang kepada UMNO dan BN untuk memenangi kerusi itu, cuma Pas kita tak ada hak untuk menyekat dalam sistem demokrasi tetapi kita mengharapkan Amanah dan parti-parti lain tidak meletakkan calon.
"Biar satu lawan satu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang di Bukit Mertajam, pada Ahad.
#Amanah berpandangan kekalahan parti itu pada PRN Sarawak tidak mencerminkan keputusan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar #Mohamad Sabu
;