Beliau berkata ini kerana bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang dipilih sebagai calon parti itu diterima baik anggota parti.
Namun, dalam menghadapi tempoh berkempen 14 hari PRK itu bermula hari ini, apa yang penting tegasnya ialah gerak kerja jentera BN perlu berfokus.
"Penting untuk kita dekati pengundi kita dulu, ahli BN, UMNO sendiri, kemudian dekati pengundi yang dahulunya atas pagar, yang ada masalah, yang dulu cah keting pun ada.
"Kali ini alhamdulillah belum kedengaran apa-apa bahkan setiap peti undi menerima baik calon yang kita turunkan untuk mewakili BN," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir memberi sokongan kepada calon BN pada penamaan calon di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata calon BN itu adalah yang terbaik kerana beliau banyak berjasa kepada penduduk Kemaman terutama semasa banjir besar pada 2013.
"Pada 2013 masa banjir berlaku, dia buat jambatan besar dalam Kemaman ini ketika dia dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau juga berjasa terhadap negara semasa menjadi Panglima Angkatan Tentera dan membawa imej ATM ke tahap lebih tinggi..." katanya.
Dalam pada itu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan berusaha memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Insya-Allah dengan usaha jentera Perikatan Nasional akan memberi undi yang lebih daripada PRU15 yang lalu," katanya.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN yang mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi dengan calon PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai tarikh mengundi awal dan 2 Dis bagi hari mengundi.
PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15.
-- BERNAMA