CHUKAI: Kredibiliti Tan Sri Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai bekas Panglima Angkatan Tentera, mendorong perubahan besar sokongan pengundi Cina kepada calon Barisan Nasional (BN) itu, menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Sabtu ini.

Ini diakui Timbalan Ketua Wanita MCA Terengganu Boon Kim Lain yang menurutnya perubahan itu dapat dirasai jenteranya ketika berkempen, yang memasuki hari kesebelas hari ini.

"Mereka sudah mulai sedar dan akan menyokong BN dengan calon yang mempunyai imej yang sangat baik. Saya rasa kami boleh lepasinya," katanya ketika ditemui semasa mengiringi Raja Mohamed Affandi berkempen di sekitar Bandar Chukai, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita MCA Bahagian Kemaman berkata kebanyakan pengundi Cina di Kemaman, mengharapkan Ahli Parlimen yang bakal dipilih nanti dapat mengusahakan pembangunan lebih lestari di kawasan tersebut.

Sementara itu Raja Mohamed Affandi yakin pengundi Cina akan memberikan sokongan padu kepadanya pada hari pengundian nanti.

"Rata-rata mereka itu (pengundi Cina) bersama dengan BN. Saya agak selesa dengan apa yang berlaku. Dengan dukungan kuat masyarakat Cina terhadap saya dan BN, kita boleh memberikan satu tentangan yang hebat pada pilihan raya nanti.

"Untuk membina sebuah negara bangsa, kita memerlukan semua (kaum) bersama-sama. Tanpa ada kesatuan di antara kita, akan tempanglah usaha untuk membina negara bangsa. Saya di sini di atas landasan dan pegangan itu," katanya.

PRK Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini bagi hari mengundi untuk PRK itu, yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-- BERNAMA