PRK Kemaman: Penyokong Pas jangan 'over confident'
Sinar Harian
November 22, 2023 11:36 MYT
November 22, 2023 11:36 MYT
KEMAMAN: Penyokong Pas diingatkan agar jangan terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Kemaman terus dipertahankan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, semua jentera dan penyokong perlu berusaha agar calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti lebih besar.
“Saya nak minta, paling tidak kita kekalkan kemenangan. Kalau boleh memang nak capai majoriti lebih besar tapi saya nak pesan jangan ‘over confident’.
“Sebab kalau datang ‘over confident’, jadi malas berkempen dan bekerja untuk parti. Lawan kita pula kerja kuat sebab dia jangka kalah.
"Jangan kita sedap rasa menang sampai tak kerja, kita kena bertungkus-lumus sampai hari mengundi,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Perdana di UDM Teluk Kalong, Kijal pada malam Selasa.
Ahli Parlimen Temerloh itu turut menyatakan kebimbangan jika ada pengundi yang terpengaruh dengan naratif yang dibawa pihak lawan tentang calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu.
Jelasnya, pelbagai bentuk tohmahan dan pandangan sinis dibuat, kononnya Ahmad Samsuri tamak dan berhasrat menjadi calon Perdana Menteri.
"Saya mengenali beliau secara dekat, sebab kami sama-sama berasal dari Besut. Tak timbul soal tamak sebab bukan sahaja untuk jadi calon di Kemaman, bahkan di DUN Rhu Rendang tempoh lalu (2018), yang membawa beliau ke kerusi Menteri Besar Terengganu.
"Dia menangis di Pejabat Agung Pas pada masa itu apabila dipilih untuk menjadi calon ganti Rhu Rendang dan diberi 'hint' atau isyarat bahawa akan menjadi menteri besar.
"Beliau tak nak, padahal orang lain berebut nak jadi menteri besar. Kenapa? Ini adalah kaedah dan proses pentarbiahan dalam Pas. Kita tak ajar untuk cinta serta memburu jawatan," katanya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.
Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340. - Sinar Harian