PRK Kemaman: "Gelanggang" dibuka esok

Bernama
November 17, 2023 12:45 MYT
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Gambar hiasan/ Bernama
CHUKAI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan bermula esok dengan proses penamaan calon bakal berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.
Setiap calon yang akan bertanding diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua lagi calon lain pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani calon Parti Pejuang Tanah Air yang mendapat 506 undi.
Kedua-dua calon BN dan PAS berkenaan diumumkan tidak akan bertanding pada PRK ini dengan BN, Isnin lepas melakukan kejutan mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, sebagai calon langsung mereka.
PAS, malam semalam menamakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.
-- BERNAMA
#Ahmad Samsuri Mokhtar #PRK Kemaman #Kemaman #Chukai
;