PRK Kemaman: Anak tempatan jadi keutamaan calon UMNO
Bernama
Oktober 22, 2023 00:21 MYT
Oktober 22, 2023 00:21 MYT
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO akan meletakkan anak kelahiran Kemaman, Terengganu sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Dis ini, kata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu berkata partinya telah memperoleh beberapa nama sebagai calon dan ia akan disenarai pendek dalam masa terdekat.
"Yang pastinya kami akan ambil tokoh anak Kemaman yang berada di peringkat nasional atau di peringkat negeri untuk bertanding bagi PRK Kemaman," katanya kepada pemberita di sini.
Ahmad Zahid berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Pengarah Jentera BN bagi PRK Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Said akan mengumumkan nama calon berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Dis ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 Nov dan 28 Nov.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam perkembangan lain ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) (MAKSPEN) XIV di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata UMNO selesa bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
"Bagi kami, kami selesa dengan penglibatan kami dalam kerajaan Perpaduan, dan jangan buang masa jemput kami menyertai PN (Perikatan Nasional)," katanya mengulas saranan pembangkang agar UMNO menyertai PN.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris semalam berpandangan penyertaan UMNO dalam PN dapat menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu yang antara lain bertujuan membantu masyarakat Melayu Islam di negara ini.
Ahmad Zahid berkata kerajaan hari ini bukan hanya bertanggungjawab terhadap masyarakat Melayu dan Islam malah bagi keseluruhan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA