PRK Kemaman: 60 peratus keluar mengundi setakat 4 petang - SPR

Bernama
Disember 2, 2023 17:16 MYT
Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mencecah 60 peratus, setakat 4 petang ini. - Gambar/ Bernama
CHUKAI: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mencecah 60 peratus, setakat 4 petang ini.
Jumlah itu hampir mencapai sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan 70 peratus pengundi dari 141,043 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat mengundi ditutup 6 petang ini.
Sejak kesemua 49 peratus pusat mengundi dibuka 8 pagi tadi, cuaca di Parlimen Kemaman kekal cerah setakat ini, memudahkan proses mengundi dijalankan.
Secara keseluruhan, sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera telah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 Nov lepas.
PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
-- BERNAMA
#PRK Kemaman #peratusan keluar mengundi #Chukai #SPR
;